Thursday, 20 December 2012

Esei 'Konsep Integrasi Teknologi Pendidikan dalam Pengajaran dan Pembelajaran'



INTEGRASI TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM PENGAJARAN & PEMBELAJARAN  PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN (PJK)

Pengenalan
Seiring dengan perkembangan dunia semasa dan era globalisasi, bidang pendidikan turut mengalami perubahan yang pesat dari segi sistem mahupun pengurusannya.Dalam konteks ini, globalisasi menyebabkan wujudnya konsep dunia tanpa sempadan, konsep liberalisasi maklumat, konsep pembelajaran global, konsep perubahan global dan sebagainya (Abd.Rahim, 2005). Perubahan ini memberikan kesan sama ada positif dan juga negatif kepada masyarakat di negara membangun. Profesion keguruan juga terjebak dalam pengaruh ini yang merupakan trend dan ideologi abab ke-21.Teknologi Pendidikan memberi kesan yang besar ke atas anjakan perubahan sistem dan pengurusan pendidikan di negara-negara membangun seperti Malaysia.Justeru itu, perubahan daripada pendekatan pendidikan bersifat tradisional atau berasaskan kertas dan pen perlukan segera kepada pendidikan yang berteknologi adalah satu perkara besar yang perlu diberi sokongan.Perubahan ini bukan sahaja terhad kepada usaha pihak kerajaan semata – mata sebaliknya adalah keterlibatan semua pihak.Dengan penubuhan MSC, Malaysia menjadi negara yang berdaya maju dan kompetitif sesuai dengan cabaran globalisasi dan era teknologi maklumat.Revolusi maklumat yang berlaku disebabkan kemajuan teknologi memberi cabaran baharu kepada profesion keguruan, di samping kemajuan yang berlaku ini perlu dimanfaatkan untuk mempertingkatkan martabat profesion keguruan.
Dalam tugasan ini akan membincangkan kepentingan integrasi teknologi pendidikan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Inisiatif untuk mengintegrasikan teknologi pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah tepat pada masanya. Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran akan dibincangkan mengikut aspek pengajaran guru (guru menggunakan ICT) dan aspek pembelajaran (murid menggunakan ICT). Dalam konteks pembelajaran,penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran boleh dikategorikan sebagai tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. Dalam konteks pengajaran pula teknologi digunakan sebagai tutor dan alat demonstrasi. Perbincangan ini juga menghubungkaitkan antara teori-teori pembelajaran dengan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.Penggunaan teknologi dalam P&P memerlukan kemahiran dan komitmen guru secara tepat dan berfokus. Peranan guru dalam mengintegrasikan teknologi terlibat dalam semua peringkat proses pembelajaran bermula dari persediaan sebelum pengajaran, semasa dan penilaian selepas sesi P&P. Kegagalan guru dalam membuat perancangan yang teliti akan merugikan pelajar dan menjadikan proses P&P kurang berkesan.
Kecanggihan yang semakin berkembang menyediakan banyak manfaat kepada manusia. Pelaksanaan aktiviti dalam kehidupan seharian menjadi semakin mudah, efektif dan efisien dengan kewujudan pelbagai alat teknologi. Demikian juga dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P & P) di dalam bilik darjah. Penggunaan alat- alat teknologi semasa sesi P&P bukan sahaja menjadikan sesi tersebut lebih menarik dan mudah, tetapi mampu meningkatkan minat dan fokus para pelajar. Pengintegrasian teknologi dalam pendidikan bukan sekadar menjadi trend dan ikutan semata- mata, tetapi lebih menjurus kepada pengaplikasian sebuah pendekatan baru dan terkini dalam menghasilkan satu sesi P&P yang berinovasi.

                                                                                                    
Konsep Integrasi Teknologi Pendidikan dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Konsep integrasi teknologi dalam pendidikan boleh didefinisikan sebagai pengintegrasian tanpa kelim antara pelbagai media dalam satu persekitaran digital bagi memenuhi tujuan persekitaran pembelajaran, pedagogi, reka bentuk kurikulum dan stail pembelajaran pelajar (Halimah, 2005).Holmes (1999), memberikan pandangan bahawa integrasi teknologi dalam P&P memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel dalam menggunakan teknologi dalam kaedah pengajaran harian dengan mata pelajaran yang diajar.Mempelajari bagaimana menggunakan komputer belum mencukupi untuk membolehkan guru menggabungkan teknologi dalam P&P. Elemen yang penting dalam mengintegrasi teknologi ialah pemahaman guru terhadap isi pengajaran dan implikasi berhubung dengan teknologi.
Menurut Tajul Ariffin dan Nor’Aini (2002) kejayaan negara yang bertitik-tolak dari pembentukan modal insan yang cemerlang sentiasa berkait rapat dengan kejayaan dalam bidang pendidikan. Integrasi teknologi dalam bidang pendidikan dilihat membantu pelajar dan juga guru untuk memantapkan proses pembelajaran dan pengajaran (P&P).Selain dari itu, pengintegrasian teknologi dalam pendidikan telah membentuk pembelajaran secara autentik yang mana pelajar diberi peluang belajar untuk menyelesaikan masalah berdasarkan tugas dunia sebenar.
Menurut Lombardi (2007), dengan adanya bantuan Internet, visual, dan teknologi simulasi pelajar ijazah pertama boleh menjana kejadian lepas, melihat fenomena, menggunakan instrumen dan boleh berhubung menerusi mentor di serata dunia. Perkara yang penting dalam integrasi teknologi pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah setiap strategi itu harus menjurus kepada keperluan P&P dan sebagai satu cara untuk guru dan pelajar menyelesaikan masalah semasa proses pembelajaran serta memperolehi hasil yang bertepatan dengan isi kandungan.

  
Kepentingan Integrasi Teknologi Pendidikan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran.
Diantara kepentingannya ialah:-
1.      Memberi peluang kepada guru dalam memperkenalkan pembelajaran secara kontekstual yang mana lebih berfokuskan  aktiviti dan masalah sebenar.
2.      Dapat memperkayakan pengalaman pelajar. Cth: media bergerak boleh memperkayakan pengalaman murid. Kejadian yang tidak pernah mereka lihat atau alami akan dapat mereka saksikan sendiri dan ini menjadikan mereka seoalah-olah mereka mengalaminya.
3.      Guruboleh menggunakan ICT seperti penggunaan video, power point, komputer dan gambar boleh mengelakkan rasa bosan pelajar seterusnya mengekalkan minat pelajar. Ini kerana apabila pelajar diberi peluang mencari maklumat sendiri atau berkumpulan, pelajar akan mudah dan lebih faham tentang subjek yang dipelajari.
4.      Ia juga boleh menjimatkan masa dan tenaga kerana maklumat boleh diperolehi dengan cepat daripada Internet.
5.      Melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia berfokuskan kepada isi-isi penting kepada topik yang akan disampaikan. Ini kerana akan memudahkan pengajaran guru didalam kelas dan mampu menarik perhatian pelajar.
6.      Membantu pelajar mendapat kesan pembelajaran yang maksimum dengan penggunaan masa yang minimum. Ini kerana masa di sekolah adalah amat terhad dan memerlukan guru kreatif di dalam pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah ICT mampu memberi kefahaman kepada para pelajar dalam masa yang singkat.
7.      Membetulkan sebarang kekeliruan atau salah tafsir kerana ia memberi sesuatu gambaran yang menyeluruh dan jelas sesuatu konsep dan kaitannya dengan kehidupan seharian.
8.      Penggunaan teknologi pendidikan juga boleh mengelakkan berlakunya tidak faham atau salah tafsir terhadap konsep melalui deria melihat, mendengar atau menyentuh. Guru boleh membuktikannya melalui tayangan video atau bahan-bahan yang boleh didapati daripada Internet.
9.      Melibatkan pelbagai deria pelajar. Cth: penggunaan visual yang diikuti oleh audio akan melibatkan deria lihat dan dengar dan mungkin deria sentuh. Penglibatan deria ini akan meningkatkan daya ingatan pelajar.
10.  Menyediakan sumber yang luas kepada guru-guru dan pelajar-pelajar untuk meneroka, mencari bahan pengajaran, rujukan dan penyelidikan.
11.  Kaedah integrasi teknologi pendidikan dalampengajaran dan pembelajaran juga mampu memberi kelainan dan kepelbagaian kepada kaedah mengajar kerana sebelum ini , guru hanya menggunakan kaedah syarahan atau kuliah didalam kelas.
12.  Pelajar boleh menguasai pelbagai kemahiran manipulatif seperti kemahiran pemprosesan perkataan (words), pangkalan data (database), dan grafik (kaku atau bergerak), serta boleh membuat pembentangan tugasan menggunakan alat-alat teknologi.

 
Strategi mengintegrasi teknologi dalam P&P
 Peranan Pemimpin Sekolah
Strategi untuk menggabungkan dan memantapkan penggunaan teknologi dalam P&P bukannya semata-mata terletak di bahu guru sahaja tetapi juga kepada pemimpin sekolah.Peranan pemimpin adalah amat penting dalam membentuk budaya menggunakan teknologi di sekolah.Mereka bukan sahaja perlu memberi sokongan dari segi kewangan tetapi juga menjadi model sebagai pengguna teknologi dalam pentadbiran dan memberi respons kepada perubahan.Untuk menerapkan budaya penggunaan teknologi di sekolah, satu dokumen polisi bertulis seharusnya disediakan. Polisi ini membantu mereka bentuk dan mengurus program ini bagi membolehkan guru dan pelajar menguasai teknologi secara teratur dan progresif. Sesebuah polisi tidak perlu statik tetapi perlu disemak setahun sekali terutamanya apabila tahap kepakaran guru meningkat dan terdapat perubahan pada dasar dan prosedur Kementerian Pendidikan. Kerangka polisi ICT dibina berdasarkan kepada matlamat dan perancangan sekolah, pandangan daripada ibu bapa dan komuniti, polisi Pejabat Pendidikan Daerah, polisi rasional penyelidikan tentang pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan perkembangan teknologi (Mohammed Sani dan MohdJasmy, 2002).
Bagi melaksanakan polisi dan matlamat yang telah ditetapkan sekolah harus menyediakan pelan pembangunan.Heinrich (1995) menyatakan pelan ini mengandungi aktiviti-aktiviti spesifik seperti strategi pemantauan dan penilaian; spesifikasi tentang pemilihan pembiayaan serta pembelian perisian dan perkakasan, kurikulum yang digunakan dan perancangan untuk penggantian serta pembinaan peralatan secara berterusan.Program pembangunan sekolah harus selari dengan matlamat dan prosedur yang telah ditentukan oleh Kementerian Pendidikan.Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah seharusnya dilibatkan bagi membimbing dan menyokong sekolah untuk membuat pelan pembangunan teknologi dan seterusnya memantau perlaksanaannya.

Sokongan daripada Pihak Luar
            Pihak luar memainkan peranan penting untuk memantapkan integrasi teknologi pendidikan dalam proses P&P sekolah. Pihak skeolah harus menggunakan pelbagai perkhidmatan luar seperti pihak swasta, kerajaan, badan akademik, komersial serta komuniti setempat. Pusat Sumber Pendidikan Negeri merupakan sumber rujukan yang paling releven untuk mendapat khidmat nasihat teknik dan kaedah menggunakan teknologi pendidikan dalam proses P&P. Teknik pengkongsian pintar adalah antara sekolah dan sector swasta boleh digunakan sebagai strategi untuk meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi pendidikan untuk guru dan semua warga sekolah. Sekolah harus menggunakan peluang yang ada dalam komuniti setempat dari segi mendapatkan sumbangan dalam bentuk tenaga pakar untuk membantu guru-guru dalam menjadikan penggunaan teknologi pendidikan dalam P&P secara berkesan.

 Masalah atau kekangan pelaksanaan pengintegrasian teknologi pendidikan dalam P&P
Sikap negatif guru
            Daripada kajian lepas terdapat sebahagian  guru yang telah sebati dengan kaedah tradisional dan untuk sukar membuat penyesuaian dengan teknologi instruksional. Ledakan teknologi pendidikan member cabaran baharu kepada profesion guru dan sistem pendidikan di sekolah-sekolah yang masih belum mengalami perubahan drastik dari segi pengadaptasian penggunaan teknologi baharu termasuk computer, digital, elearning dan sebagainya. Penggunaan teknologi pendidikan dalam sekolah-sekolah telah membuka perspektif baharu tentang liberalisasi pembelajaran yang tidak lagi terikat kepada system dan organisasi bilik darjah. Kemajuan dan kecanggihan teknologi pendidikan membolehkan pembelajaran menerusi pelbagai kemudahan teknologi diadaptasikan dalam P&P.
Sumber Kewangan Yang Tidak Mencukupi
            Pihak sekolah yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai berbagai-bagai kos penggunaan teknologi pendidikan akan kembali kepada pembelajarab konvensional. Kelemahan kepimpinan sekolah yang kurang komited terhadap penggunaan teknologi pendidikan juga boleh menyebabkan sekolah tertinggal dari arus perubahan perdana yang berlaku. Sekolah juga gagal memainkan peranan positif bagi membangunkan pelajar supaya lebih moden dalam penggunaan teknologi pendidikan, terutamanya di kawasan luar Bandar. Perubahan ini akan memberikan cabaran besar terhadap tenaga pengajar. Mereka perlu bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.


Faedah pengintegrasian teknologi pendidikan dalam P&P Pendidikan Jasmani & Kesihatan (PJK)
Pengintegrasian teknologi pendidikan dalam P&P Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah memberikan impak yang baik kepada  pelajar mahupun guru mata pelajaran di mana terdapat banyak faedah yang diperolehi. Semestinya dalam P&P Pendidikan Jasmani dan Kesihatan mempunyai aktiviti-aktiviti yang melibatkan kecergasan fizikal. Oleh itu, pengintegrasian teknologi pendidikan ini dapat memantau denyutan jantung pelajar iaitu dengan menggunakan alat pengukur automatik dan alat transmisi. Kadar denyutan jantung pelajar akan diambil melalui pemakaian jam tangan di pergelangan tangan serta getah elastik yang akan diikat di sekitar dada pelajar untuk merekodkan data. Pengintegrasian teknologi ini akan membantu untuk memupuk kerjasama dalam kumpulan. Selain itu, sistem telemetri kadar nadi juga boleh digunakan untuk menetapkan sasaran individu. Contohnya, berdasarkan data nadi yang telah direkodkan, pengajar pendidikan jasmani menyediakan preskripsi kepada ibu bapa tentang bagaimana untuk membantu anak-anak mereka meningkatkan fitness. Di samping itu juga, kadar nadi yang telah dicatatkan sebelum ini akan dijadikan sebagai motivasi kepada rakan sekelas.
Teknologi yang semakin moden pada masa kini telah memudahkan lagi pengajaran dan pembelajaran di sekolah terutamanya dalam Pendidkan Jasmani dan Kesihatan. Ketika aktiviti-aktiviti kecergasan fizikal dilakukan, pengajar boleh menggunakan perakam video untuk merakam teknik-teknik pelajar semasa bermain sesuatu permainan, kemudian dapat menganalisis keputusan dan menawarkan cadangan penambahbaikan. Penggunaan model perakam video monitor LCD yang baru boleh mendapat maklum balas dengan serta merta. Penggunaan teknologi ini adalah untuk membantu pelajar memahami apa corak pergerakan yang baik dan bagaimana untuk menganalisis dan memotivasi para pelajar untuk kemahiran mereka dari masa ke masa. manakala video yang dihasilkan juga boleh digunakan untuk menunjukkan teknik yang betul kepada pelajar, terutama apabila pengajar tidak mempunyai kepakaran. Oleh yang demikian, bagi guru-guru yang menggunakan video kamera dalam pengajaran pendidikan jasmani harus memainkan pita kamera dengan serta-merta selepas setiap prestasi, menggunakan maklum balas secara lisan dan memberi isyarat semasa memainkan pita, gunakan video secara berulang kali, ‘zoom in’ untuk memberi tumpuan kepada aspek-aspek tertentu, menukar sudut kamera, termasuk perspektif alam sekitar, dan menonton skrin yang berpecah. Dengan adanya kemudahan ini, sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar memahami dengan lebih mendalam tentang apa yang dipelajari sekaligus dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam sukan.


Kesan pengintegrasian teknologi pendidikan dalam P&P
Pengintegrasian teknologi pendidikan ini juga mempunyai banyak kesan-kesannya sama ada positif mahupun negatif. Namun penggunaan teknologi ini lebih banyak memberikan kesan yang positif dimana ianya dapat membantu guru-guru  yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.  Sebagai contoh penghasilan perisian berbantukan multimedia-komputer dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p) mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) Tingkatan Lima, membantu pelajar sekolah manfaatkan kehebatan teknologi teknologi maklumat dalam p&p mata pelajaran sukan.  Guru mata pelajaran PJK boleh mempelbagaikan kaedah p&p, iaitu selain daripada menggunakan kemudahan fizikal seperti padang atau  gelanggang, mereka juga boleh melaksanakan p&p di makmal komputer dengan menggunakan perisian yang direkacipta itu. Begitu juga dengan ujian kecergasan pelajar di sekolah boleh dijalankan dengan menggunakan beberapa peralatan yang telah direka cipta seperti pembangunan makmal pintar Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK), Alat Ujian Tekan TubiMenggunakan Sensor, Alat Ujian Lompat Jauh Berdiri Menguji Kekuatan Otot Berelektronik, Pembangunan Perisian Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK) bagi Subjek Kecergasan Fizikal dan sebagainya.
Manakala dalam bidang sukan pula, para jurulatih di sekolah khususnya, boleh mengadaptasikan penggunaan teknologi untuk membolehkan para atlet mendapat kesan yang positif dalam latihan dan seterusnya menjulang kecemerlangan dalam kejohanan yang disertai.  Sebagai contoh, terciptanya alat pengesan batal dalam acara lompat jauh menggunakan sensor,  alat koordinasi menggelecek bola keranjang berelektronik bagi ujian kecergasan fizikal, analisis kinematik pergerakan kaki dalam latihan sukan lawan pedang menggunakan alat bantuan latihan, alat kiraan mata berelektronik dalam sukan netbal dan sebagainya. Di antara kelebihan penggunaan semua hasil rekacipta yang dinyatakan ini adalah, ianya lebih murah berbanding dengan kos yang perlu dibelanjakan sekiranya menggunakan peralatan yang sama yang terdapat di pasaran, baik dari dalam atau luar negara.  Sebagai contoh, rekacipta dan pembangunan Makmal Pintar Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) untuk Sekolah-sekolah di Malaysia yang mengandungi tujuh stesen ujian hanya menelan belanja sekitar lebih kurang RM5000 sahaja, sedangkan kos di pasaran melebihi RM30,000. Keadaan ini menunjukkan hasil rekacipta teknologi sukan tempatan amat kompeten dan boleh bersaing di peringkat global dengan bukan sahaja hasil yang sama mutunya dengan keluaran luar negara, malah boleh dimiliki dengan harga yang amat rendah, berpatutan dan mampu milik.
  
Kesimpulan
Kemajuan teknologi moden adalah salah satu faktor yang turut mempengaruhi pembaharuan pesat berlaku dalam dunia pendidikan. Peranan teknologi semakin dirasakan oleh pelbagai sektor terutama sektor perniagaan, telekomunikasi, pentadbiran dan pendidikan. Dalam bidang pendidikan, kerajaan dan masyarakat awam telah memberikan perhatian mendalam tentang perkara tersebut kerana menyedari hakikat tentang peranan dan fungsi yang boleh dimainkan oleh teknologi dalam pendidikan. Mereka yakin bahawa teknologi boleh membantu mencapai matlamat dan tujuan pendidikan untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan bermakna. Yelland, N. et.all. (1997) mengatakan bahawa teknologi dapat memberi kesempatan kepada pelajar-pelajar untuk meningkatkan proses pembelajaran. Oleh yang demikian, dalam usaha untuk mengintegrasikan teknologi pendidikan dalam P&P, pelbagai pihak harus bekerjasama bagi memastikan penggunaan teknologi yang sedia ada tidak disalah gunakan oleh mana-mana pihak serta memastikan keberkesanan teknologi dalam proses P&P. Pihak Kementerian Pelajaran harus mewujudkan dana khusus untuk penyediaan prasarana berkaitan teknologi kepada guru dan pendidik serta menyediakan pusat latihan dalam bidang tersebut agar mereka menjadi mahir dalam bidang tersebut. Akhir sekali, pendidik serta pelajar haruslah mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menggunakan teknologi dengan lebih berkesan. Setiap individu harus tahu bagaimana untuk menggunakan semua teknologi yang ada supaya tidak bergantung kepada orang lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah. 

RUJUKAN




Integriting Educational Techonolgy into Teaching – second edition (M.D. Roblyer , The state University of West Georgia – Jack Edwards, The Webster School)
Penintegrasian ICT dalam pendidikan, penyelidikan, amalan dan aplikasi, 2008, Norazah Mohd Nordin, Mohamed Amin Embi
Tranformation of knowledge through classroom interaction, 2009 by Routledge, Baruch Schwarz, Rina Hershkowitz
Teaching with Technology, 2003 second edition, Priscilla Norton, Karin M.Wiburg
 


No comments:

Post a Comment